KETUA jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan yakin kemampuan anak buahnya tewaskan Perak, Sabtu ini. - Foto Danial Saad
Rudy Syareme Sheriffudin
sukanteam@nstp.com.my


KEBANGKITAN Pulau Pinang sejak kebelakangan ini memberi amaran awal buat Perak supaya tidak terleka dalam saingan pusingan ketiga Piala FA 2018 di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini.

Enggan mendabik dada, skuad Harimau Kumbang bimbingan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan menunggu masa membuktikan taring sebenar mereka memerangkap Perak kali ini.

Zainal Abidin yakin 100 peratus dengan komitmen semua pemain mampu meraih kemenangan sekali gus melangkah ke suku akhir.

Menurutnya, kemenangan 2-1 di tangan JDT II minggu lalu dalam saingan Liga Perdana membuktikan taring sebenar Harimau Kumbang masih lagi berbisa.

Katanya, banyak perkara terpaksa ditempuh Pulau Pinang  sebelum ini dan percaya ia  mampu bangkit sekali lagi.

“Iringan doa dan kepercayaan penyokong serta semangat berpasukan semua pemain memperlihatkan kebangkitan sebenar Pulau Pinang dan terus memburu kemenangan.

“Kemenangan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih serta mengambil segala peluang yang ada.

“Gandingan mantap Ken Ilso, Muhammad Nurfais dan Mohd Azinee Taib mampu meledak dan gawang gol lawan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Zainal Abidin berkata, tugas dan tanggungjawab seorang pemain amat penting kerana mereka merupakan kunci segala kejayaan kepada pasukan bukannya sekadar nasib.

“Kita akan guna peluang raih tiga mata di laman sendiri selain suntikan semangat padu penyokong setia dapat diberikan kepada pemain-pemain.

“Pulau Pinang masih berbisa namun semua pemain perlu bangkit dan membalas segala kepercayaan dengan kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:28 PM