Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


PENJAGA gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar)menganggap panggilan bagi menyarung jersi kebangsaan adalah rezeki yang tidak dijangka.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek turut beranggapan peluang itu diperoleh mungkin kerana isterinya sedang mengandungkan anak ketiga mereka dan bakal lahir tidak lama lagi.

“Untuk panggilan bagi menyertai skuad kebangsaan ini bagi saya ia satu penghormatan besar dan rezeki yang saya tidak duga.

“Alhamdulilah dan terima kasih juga kepada jurulatih yang sudi memilih saya untuk kembali menyertai pasukan kebangsaan.

“Apa pun saya anggap masih ramai lagi penjaga gol yang hebat dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini tapi mungkin panggilan ini hanyalah rezeki buat anak ketiga saya yang akan lahir tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Fahmi, 29, kembali mendapat kepercayaan apabila tersenarai antara 29 pemain ke latihan pusat skuad kebangsaan.

Mereka dalam persiapan bagi perlawanan persahabatan bertemu Mongolia pada 22 Mac ini dan dan perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut pada 27 Mac.

Dalam perkembangan sama, Khairul Fahmi turut mengakui pasukan lawan yang akan dihadapi memiliki kelebihan tersendiri yang mampu menguji kemampuan setiap pemain.

“Saya sentiasa berpesan kepada diri saya untuk sentiasa fokus dalam setiap perlawanan tidak kira mewakili negeri atau negara kerana setiap perlawanan amat penting dan ia menguji kemampuan diri sebagai pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 1:59 PM