BADDROL BAKHTIAR
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN tengah, Baddrol Bakhtiar membawa penawar paling mujarab buat kem Kedah apabila pulih daripada kecederaan menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Kehadiran Baddrol ternyata menceriakan serta melonjakkan semula semangat rakan sepasukan yang agak murung selepas kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua pasukan, Khairul Helmi Johari atau mesra dengan panggilan Keon berkata, ketiadaan Baddrol ketika menentang Kuala Lumpur amat dirasai menyebabkan kudratnya sangat ditagih untuk perlawanan menentang Pahang.

Khairul menganggap kehadiran Baddrol tepat pada masanya kerana tugas yang menanti mereka di Kuantan lebih mencabar sebab ia menentukan hidup mati perjuangan mereka dalam pertandingan Piala FA musim ini.

“Baddrol adalah tonggak pasukan Kedah, kami memang sangat memerlukan dia. Setiap kali dia tidak dapat bermain, kami boleh nampak kesannya ke atas pasukan.

“Walaupun bola sepak bukan bergantung pada seorang pemain namun pengalaman Baddrol mampu menentukan hala tuju perlawanan.

“Saya sendiri merasai permainan saya serba tak menjadi bila Baddrol tidak bermain ketika menentang Kuala Lumpur hingga melakukan kesilapan yang membawa padah,” kata Khairul.

Kedah pasti mahu mempertahankan kejuaraan itu namun Khairul mengakui berdepan Pahang bukan tugas mudah.

“Pahang sedang berada di puncak prestasi ekoran kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan, hujung minggu lalu sedangkan kami mahu bangkit daripada kekalahan.

“Mereka memiliki rangkaian penyerang berbahaya melalui gandingan (Francis) Forkey Doe, Patrick Cruz dan (Mohamadou) Sumareh.

“Kami tidak boleh mengulangi kesilapan seperti ketika menentang Kuala Lumpur. Saya sendiri sudah mengkaji kelemahan saya dalam perlawanan itu dan berusaha memperbaikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 12:38 PM