ISMAIL ZAKARIA
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BIARPUN terpalit dengan isu tunggakan gaji yang melanda Marcerra Kuantan FA, jurulatihnya Ismail Zakaria tetap yakin anak buahnya mampu memperagakan aksi mantap dan bertenaga apabila bertemu PKNP FC pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, Jumaat ini.

Malah bekas Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu percaya pemainnya tidak tertekan dengan situasi itu apabila turun beraksi walaupun kemelut pembayaran gaji belum menemui noktahnya.

Beliau juga melihat dari sudut positif anak buahnya tidak akan melakukan protes dan tidak akan mengkhianati pertemuan dengan PKNP kerana pemainnya kini mempunyai semangat juang tinggi untuk layak ke suku akhir.

“Saya sudah memaklumkan kepada pemain supaya tidak mencampur adukkan hal itu dengan aksi penting Jumaat ini kerana ia akan merugikan pasukan dan diri sendiri jika gagal ke suku akhir.

“Hal ini kerana berdasarkan pemain yang ada, pasukan kami dilihat mampu melakar kejutan ke atas pasukan itu walaupun beraksi dalam saingan Liga Perdana berbanding lawan beraksi dalam Liga Super.

“Malah lebih meyakinkan kami pemain kini berada pada tahap prestasi terbaik seperti ketika bertemu FELDA United dalam aksi liga selain mereka bertekad tidak akan bermain sambil lewa serta memprotes aksi berkenaan sebaliknya akan memperagakan aksi terbaik buat pasukan untuk memburu kemenangan,” ujar Ismail.

Berdasarkan rungutan pemain skuad itu seperti laporan akhbar sebelum ini, gaji mereka tidak dibayar sejak dua bulan lalu hingga kini sekali gus membuatkan ada antara kalangan pemain terpaksa menebalkan muka meminjam daripada rakan dan sanak saudara.

“Saya harap pemain bersabar dan yang penting perlu meningkatkan kualiti permainan diri dan pasukan kerana saya percaya kemelut itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 12:27 PM