RAHIZI (tiga dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan pasukan pada perlawanan Piala FA Pusingan Pertama menentang Jerantut FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak
sukanteam@nstp.com.my

SELEPAS melepasi pusingan pertama, Terengganu City FC (TCFC) berdepan ujian lebih getir apabila juara musim 2012 dan 2013, Kelantan menanti mereka pada pusingan kedua Piala FA.

Pengendali TCFC, Md Noor Md Derus mengakui pasukannya jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan skuad The Red Warriors (TRW) yang juga antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pasukannya akan sedaya upaya memberikan persembahan terbaik menentang jiran tetangga dari Liga Super itu.

“Pasukan saya akan bertemu Kelantan dalam pusingan kedua nanti dan sedia maklum mereka ialah sebuah pasukan yang kuat, namun kita akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Kita sedar bukan mudah untuk pasukan saya berdepan berpengalaman seperti Kelantan, tapi kami akan sedaya upaya memberi tentangan kepada mereka,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

TCFC mara ke pusingan kedua selepas bangkit mengetepikan Jerantut FA 2-1 dalam aksi pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Jerantut FA yang bermain dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR) membuka jaringan menerusi rembatan Mohd Arfiyahsah Abdul Jaafar pada minit ke-64.

Begitupun, TCFC yang bermain di Liga FAM bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd Rahizi Mohd Rasib pada minit ke-67 dan ke-85.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 1:07 PM