BARRY BENNELL
AFP

LONDON: Bekas jurulatih bola sepak remaja Britain didapati bersalah semalam atas tuduhan melakukan penderaan seksual ke atas kanak-kanak lelaki selepas mahkamah dimaklumkan yang dia adalah “pendera kanak-kanak pada skala besar”.

Barry Bennell, 64, yang menjadi jurulatih di Crewe Alexandra dan mencari bakat untuk Manchester City, didapati bersalah atas 36 dakwaan membabitkan 10 mangsa kanak-kanak antara tahun 1979 hingga 1990.

Sebahagian daripada mereka yang mendakwanya, mengalirkan air mata di mahkamah apabila keputusan dibaca.

Perbicaraan Bennell adalah sebahagian daripada dakwaan penderaan fizikal dan seksual ke atas kanak-kanak di kelab bola sepak di Britain sekitar tahun 1970 dan 1980 oleh individu yang sepatutnya membangunkan karier mereka.

Perbicaraan di Mahkamah Liverpool Crown itu turut mendapati yang Bennell pernah dipenjara atas kesalahan seksual.

Ketika bahan bukti dikemukakan, pihak pendakwa berkata Bennell bukan saja memperdaya mangsanya tetapi turut membabitkan ahli keluarga mereka.

Dia mendera kanak-kanak itu di rumahnya, di mana dia mempunyai arked permainan dan binatang peliharaan eksotik termasuk harimau dan monyet dan juga ketika mengembara serta di dalam keretanya ketika perjalanan pergi dan balik dari latihan.

Bennell yang tampil di mahkamah menerusi lintas langsung video akibat masalah kesihatan, menolak untuk mempertahankan dirinya.

Mahkamah turut dibacakan transkrip soal jawab polis terhadap Bennell yang dibuat pada Februari 2017.

Bennell menafikan yang dia mendera salah seorang kanak-kanak tetapi mengaku yang kanak-kanak itu tinggal di rumahnya dan tidur di katilnya.

Menurutnya, pemain bola sepak remaja itu terlalu muda buatnya untuk dia tertarik ketika mereka bertemu buat pertama kali.

“Saya hanya berminat dengan kanak-kanak sekitar usia 13 tahun. Saya mempunyai seorang mangsa, saya tidak perlukan dua atau tiga atau empat,” katanya dalam soal jawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:23 AM