SHAH Firdaus (kanan) dan Azizul bersaing pada Sukan SEA tahun lalu.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom menaruh harapan gandingannya bersama Azizulhasni Awang menguasai acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, bermula Jumaat ini.

Malaysia mempertaruhkan The Pocket Rocketman yang turun sebagai juara dunia selain Shah Firdaus yang meraih gangsa pada ACC 2017.

“Sesuatu yang manis sekiranya saya dan Azizul mampu meraih tempat pertama dan kedua di hadapan penonton sendiri. Tidak kisah siapa juara, janji Malaysia juara.

“Malah sepanjang saya bersamanya, kami belum pernah bersama di podium pada kejohanan besar kecuali perlumbaan tempatan di Australia,” jelas pelumba kelahiran Johor itu.

Pada edisi 2017 di India, dua pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Kazunari Watanabe meraih emas dan perak acara keirin.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara yang dilabel ‘riben biru’ dalam acara lumba basikal itu adalah pada 2015 di Thailand menerusi Azizul.

“Saya dan Azizul akan merangka strategi terbaik supaya kami berdua mampu melangkah ke final terlebih dulu. Sekiranya dua pelumba mara ke final, usaha untuk muncul juara lebih mudah.

“Malah ia peluang kami meraih mata sebanyak mungkin untuk ke Olimpik Tokyo 2020 kerana ia kejohanan pertama untuk mengumpul mata,” jelasnya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah ACC edisi ke-38 dari Jumaat hingga Isnin depan dengan 21 negara bersaing di Velodrom Nasional di Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:59 AM