SITI Zalina Ahmad (kiri).
HM Digital

Kuala Lumpur: Keyakinan skuad boling padang negara menamatkan kemarau emas Sukan Komanwel semakin menebal selepas mengharungi aksi ‘pemanas badan’ menentang dua kuasa dunia, Australia dan New Zealand awal bulan ini.

Ia disuarakan dua pemain berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad dan Fairul Izwan Abd Muin yang menyifatkan ia memberikan hasil positif kepada mereka untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

“Ada perlawanan kami menang, ada yang tewas namun kami sebenarnya sudah berjaya mengagumkan lawan dengan persembahan dipamerkan,” jelas Fairul Izwan.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah pada Sukan Komanwel 2006 menerusi Siti Zalina dalam acara perseorangan serta triples wanita yang menampilkan Norhashimah Ismail, Azlina Arshad dan Nor Iryani Azmi.

Dua edisi berikutnya skuad negara sekadar meraih perak dan gangsa.

“Lawan nampaknya memandang tinggi prestasi dan strategi yang kami gunakan semasa aksi persahabatan itu. Kami berjaya membuat mereka kagum.

“Bagi saya, persiapan kali ini lebih baik dan jika kami mengikut semua perancangan yang direncanakan jurulatih, Dr Simon Botha, keputusan lebih baik akan dicapai berbanding empat tahun lalu,” kata Siti Zalina.

Skuad negara akan kembali menjalani latihan di Gold Coast minggu depan dengan beberapa aksi persahabatan dan persiapan akhir dilakukan dalam tempoh berbaki kira-kira lima minggu.

Mereka meletakkan sasaran untuk memenangi satu pingat emas di Gold Coast.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:55 AM