DANIEL Sturridge.
Reuters

London: Penyerang West Brom, Daniel Sturridge dijangka kembali pulih dengan pantas daripada kecederaan hamstring dialaminya pada minit awal ketika tewas 0-3 di tangan juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea awal pagi semalam, menurut pengurus Alan Pardew.

Pemain kebangsaan England itu, yang menyertai West Brom secara pinjaman dari Liverpool bulan lalu, mengalami kecederaan itu ketika penampilan ketiganya bersama kelab tercorot itu.

“Kami amat memerlukan khidmatnya kerana kami bergelut untuk menjaringkan gol,” kata Pardew selepas perlawanan itu.

“Dia berasa kekejangan hamstring selepas memecut 60 meter pertama dalam perlawanan itu. Kami akan merawatnya. Dia tidak akan bermain minggu depan tapi harapnya boleh bagi minggu berikutnya.”

Kecederaan pemain berusia 28 tahun itu satu tamparan buat West Brom, yang bergelut untuk menyumbat gol sepanjang kempen setakat ini.

West Brom menentang Southampton pada pusingan kelima Piala FA Inggeris, Sabtu ini diikuti aksi liga menentang Huddersfield Town pada 24 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:50 AM