AKSI Zidane ketika menentang Leverkusen pada final Liga Juara-Juara 2002.
AFP

Madrid: Sebagai pemain, Zinedine Zidane pernah mencetus kejayaan Piala Dunia bersama Perancis, tetapi kegemilangan kariernya lebih tertumpu kepada kejayaannya dalam aksi Liga Juara-Juara.

Jaringannya untuk Real Madrid ketika final Piala Eropah 2002 menentang Bayer Leverkusen di Hampden Park, Glasgow antara gol paling hebat dalam sejarah pertandingan itu.

Begitu juga jaringannya ketika kemenangan Perancis ke atas Brazil pada 1998, kejayaan di Euro 2000 serta tandukannya ke dada Marco Materazzi ketika final Piala Dunia 2006 - semuanya melakar sejarah tersendiri dalam kariernya.

Cintanya terhadap Liga Juara-Juara berterusan sebagai pengendali, daripada pembantu kepada Carlo Ancelotti di Real ketika memenangi gelaran pada edisi 2014 hingga memacu sendiri Madrid menjuarainya sepanjang dua musim lalu.

Kini masa depan Zidane di Santiago Bernabeu akan ditentukan dengan pertemuan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain awal pagi esok.

Sepanjang 18 bulan sejak dilantik pada Januari 2016, legenda Perancis itu tidak pernah tersilap langkah, tetapi tuah seakan tidak menyebelahinya kebelakangan ini.

“Ia situasi di luar jangkaan, tapi kami perlu mengharunginya,” kata Zidane yang sudah memenangi lapan trofi sejak menggantikan Rafael Benitez di kem Madrid.

“Kami tidak boleh mengetepikan usaha selama ini hanya kerana prestasi semasa. Ini bukan sebarangan kelab. Sedikit perkara negatif di sini dan media akan menjadikannya isu besar.

“Jika saya rasa saya tidak mampu, saya akan meninggalkannya esok. Saya suka apa yang saya lakukan. Tidak semua orang mampu lakukannya. Saya cuba melakukan yang terbaik, saya sedar ia tidak akan kekal.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:39 AM