KETUA jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad mengesahkan hanya 17 dari 30 pemain melaporkan diri. Foto Fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


USAHA Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mempersiapkan skuad negara menjelang Sukan Asia 2018 berdepan kesukaran apabila hanya 17 daripada 30 pemain melaporkan diri kepada ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.

Mengikut perancangan, pemain negara dijadualkan melaporkan diri sejak Khamis minggu lalu namun ada yang berdepan dengan masalah pelepasan majikan.

“Ia sedang diselesaikan terutamanya dalam isu pelepasan daripada majikan. Saya berharap ia akan berjalan lancar dengan semua pemain dapat menyertai kem latihan pusat pada minggu depan,” katanya.

Situasi berkenaan jelas menjejaskan usaha mempersiapkan pemain pada tahap terbaik dalam menghadapi Sukan Asia pada Ogos nanti.

Mengikut perancangan yang disusun, mereka dijadual menyertai latihan fizikal dan mental “ala komando” di Kem Rejimen TUDM Jugra selama dua bulan bermula minggu depan.

“Ia sebenarnya secara tidak langsung turut membentuk peribadi pemain supaya lebih berdisiplin, komited dan nilai positif yang lain terutamanya apabila mereka kembali bekerja bersama majikan selepas latihan bersama skuad negara,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Talib menjelaskan terdapat dua atau tiga pemain yang disenaraikan mahu menarik diri daripada menyertai skuad kebangsaan kerana alasan tertentu.

“Sudah pasti ia turut menjejaskan perancangan keran mereka antara yang terbaik. Bagaimanapun kita akur kerana ada antaranya perlu menyambung pelajaran selepas beberapa kali menangguhkan pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Skuad sepak takraw negara menjadi tumpuan apabila diharapkan mampu menghasilkan emas di Sukan Asia kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:05 PM