PASUKAN Mata Hari KL Registry dari Malaysia muncul juara dalam acara IRC pada hari terakhir perlumbaan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 16 di Royal Yacht Club, Kuah. Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


PASUKAN tempatan, Mata Hari diberi tentangan sengit pada hari kemuncak Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 sebelum melakar gelaran keempat berturut-turut dalam kelas IRC, hari ini.

Pada dua perlumbaan berlangsung hari ini, Mata Hari dikendali Vincent Chan pada mulanya terlepas kemenangan di tangan Char Chan namun berjaya mengatasi seteru utama dari Jepun itu dengan meraih tangga kedua pada Perlumbaan 7 yang dimenangi Meraki (Singapura) manakala Char Chan sekadar berpuas hati di tangga ketiga.

Mata Hari muncul juara berdasarkan format enam perlumbaan terbaik di mana mereka berkongsi sembilan mata dengan Char Chan namun mempunyai kelebihan daripada jumlah kiraan mata daripada tujuh perlumbaan keseluruhan.

“Rasa gembira kerana dapat mempertahankan gelaran ini,” kata Vincent. “Pada mulanya kami gentar dengan Char Chan yang mana mereka adalah juara lima kali Piala Raja-Raja Thailand.

Apapun, mereka berjaya ditewaskan dan saya cukup gembira dengan pencapaian ini.”

Mata Hari yang turut disertai pelayar berpengalaman, Jeremy Koo mula menjuarai kelas IRC pada tahun 2015.

“Untuk tahun depan, saya percaya pasukan dari Jepun (Char Chan) dan Australia (Meraki) akan kembali ke sini dan kami akan kekal bersama pasukan sedia ada. Kami akan cuba mendapatkan gelaran kelima berturut-turut pula selepas ini,” kata Vincent.

Sementara itu, wakil tempatan yang menyertai kelas Ocean Rover, Chantique muncul juara apabila menewaskan pasukan dari Amerika Syarikat, Linda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:47 PM