ZIDANE anggap Ronaldo pemain terbaik sepanjang zaman.
Reuters

MADRID: Selepas menyaksikan Cristiano Ronaldo menjulang gelaran Ballon d’Or buat kali kelima awal pagi semalam, jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane menganggap penyerang Portugal adalah pemain terhebat sepanjang zaman.

“Ya, pencapaiannya membuktikannya, baik dari segi apa yang sudah dicapai dan apa yang bakal dicapai,” kata Zidane apabila ditanya sama ada penyarung jersi nombor tujuh itu adalah yang terbaik sepanjang zaman.

“Saya mahu dia berada di sini selama-lamanya. Dia benar-benar gembira di Madrid dan akan menamatkan kariernya di sini, dia sendiri mengakuinya.

“Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan Cristiano. Apa yang dilakukannya sungguh luar biasa.

“Seorang datang ke sini dan bermain selama 20 tahun bersama pasukan ini dan masih belum mencapai seperti yang dilakukannya. Saya harap dia akan terus mencipta sejarah sehinggalah bersara.”

Zidane yang pernah menjulang anugerah berprestij itu pada 1998 selepas membawa Perancis menjulang Piala Dunia, nampaknya enggan mengalah apabila pencapaiannya dibandingkan dengan Ronaldo.


RONALDO rangkul anugerah Ballon d’Or buat kali kelima awal pagi semalam.

“Sudah tentu saya lebih baik!” guraunya ketika sidang media. “Anda tahu apa yang saya fikirkan, dia jauh lebih baik tetapi karier saya juga tidak kurang hebatnya.”

Bercakap menjelang kunjungan Sevilla yang berkongsi mata 28 mata dengan Real dalam saingan La Liga malam ini, jurulatih kelahiran Perancis itu mendedahkan krisis pertahanan kelab itu semakin berkurangan.

Biarpun mungkin kehilangan tiga daripada empat pertahanan pilihan iaitu Sergio Ramos, Dani Carvajal dan Raphael Varane berikutan kecederaan dan penggantungan, bek tengah simpanan Jesus Vallejo kembali pulih.

Varane, yang dibawa keluar ketika menentang Borussia Dortmund, bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan akan menyertai Piala Dunia Kelab minggu depan.

Gareth Bale, bagaimanapun masih tidak beraksi dan Zidane tidak pasti sama ada penyerang Wales itu akan berkunjung ke Arab Saudi ketika Madrid mahu mempertahankan gelaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:49 AM