SKUAD hoki wanita Selangor sedia hadapi Piala Razak.
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


KEHADIRAN dua penyerang muda Nur Insyirah Effarizal dan Nor Atira Mohamad Ismail mampu menjadi senjata rahsia buat skuad hoki wanita Selangor untuk menggempur kubu lawan dalam kempen Piala Razak kali ini.

Walaupun dianggap masih ‘mentah’ berdasarkan faktor usia dan pengalaman, Insyirah, 15, dan Atira, 16, memiliki potensi besar untuk meloloskan diri ke dalam skuad senior negara dalam tempoh terdekat.

Perkara itu diakui ketua jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar yang menaruh keyakinan tinggi terhadap kedua-dua pemain ini kerana masing-masing mempunyai ciri-ciri untuk menjadi penyerang yang berwibawa.

“Memang Insyirah dan Atira masih muda tetapi kesungguhan waktu latihan dan sikap tidak pernah gentar kepada pemain senior menjadi sebab mengapa saya merasakan mereka adalah pemain untuk masa depan negara.

“Bagi Dayang (Nuramirah Abang Mahadini) dia sememangnya sudah mengikuti latihan sebagai pemain percubaan buat skuad negara, tetapi saya menjangkakan ketiga-tiga mereka mampu membawa perbezaan sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Selangor yang meraih tempat ketiga pada edisi lalu akan membuka kempen Piala Razak 2017 menentang Melaka, esok dengan kemenangan itu penting kerana lawan lebih kuat dari Kumpulan B, ATM dan Johor menanti mereka selepas ini.

Namun, kejayaan membenam Kuala Lumpur 3-1 dan Terengganu 2-0 dalam aksi pemanas badan minggu ini pasti memberikan anak didik Ikmal tonik terbaik menjelang aksi pembuka tirai esok.

Malah, Ikmal berharap dua tonggak negara - Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Fatin Shafika Mahd Sukri mampu membimbing pemain muda selepas pasukannya diperkuatkan dengan 13 pemain yang akan beraksi pada SUKMA 2018 di Ipoh, Perak.

Jadual

Esok

Kumpulan A

Indonesia mln Perak, 3ptg

Pahang mln Kuala Lumpur, 7ptg

Kumpulan B

Melaka mln Selangor, 5ptg

*Semua perlawanan di Stadium Hoki Lembah Pantai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 5:54 PM