Fabian Peter
fabian.mark@nst.com.my


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) tidak terlalu bimbang dengan kemerosotan prestasi dialami bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (LCW).

Sebaliknya, Norza mahu fokus tidak lagi terarah kepada pemain berusia 35 tahun itu kerana ia hanya akan menambah tekanan kepada dirinya.

Selepas tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu, Chong Wei mengalami dua kali kekalahan di pusingan awal - pusingan kedua Terbuka Denmark dan pusingan pertama Terbuka Perancis - bulan lalu.

Norza yang menjadi tetamu jemputan pada final Piala SMC (Sri Murugan Centre), pada Sabtu berkata: “Seperti yang saya katakan sebelum ini, badminton Malaysia bukan hanya mengenai Chong Wei seorang. Dia seorang pemain yang hebat dan sudah banyak membuat jasa kepada negara.

“Biar dia tenang dan berikan dia masa. BAM akan terus memberi sokongan kerana ada beberapa kejohanan besar tahun depan termasuk Piala Thomas. Dia masih pemain perseorangan lelaki terbaik negara,” katanya.

Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berkata beliau ada bercakap dengan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu susulan kekecewaan dialaminya.

“Saya bercakap dengan dia dan bertanya sama ada dia ok, saya fikir dia baik. Kami sedang melalui proses peralihan terutama selepas peletakan jawatan Morten Frost Hansen (pengarah teknikal), jadi berikan kami sedikit masa untuk menyelesaikannya dengan pemain dan jurulatih,” kata Norza.

Norza turut optimis Chong Wei akan beraksi pada Terbuka China yang bermula 14 hingga 19 November ini dan Terbuka Hong Kong (21 hingga 26 November).

“Tiada sebarang berita yang mengatakan dia tidak akan beraksi dalam dua kejohanan itu. Saya fikir dia sedang melakukan persiapan,” kata Norza yang memuji SMC atas usaha menganjurkan edisi kedua kejohanan antara sekolah Tamil bawah 12 tahun.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, naib juara tahun lalu, SJKT Kajang menewaskan SJKT Bukit Mertajam 2-1 untuk dinobatkan sebagai juara.

Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan peluang menjalani latihan di Akademi Badminton Prakash Padukone di India. SJKT Bukit Mertajam pula menerima RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:49 PM