ZIDANE ketika sidang media UCL. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid akan mengetepikan masalah mereka dan mempamerkan prestasi sebenar pada penampilan sulung di Wembley apabila bertemu Tottenham pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Pasukan kendalian Zidane dibelenggu kritikan selepas permulaan hambar musim ini dengan yang terbaru tewas 1-2 kepada pasukan bawahan, Girona dalam kancah La Liga, Ahad lalu.

Real mengekori pendahulu liga Barcelona dengan lapan mata selepas tewas dua perlawanan dan dua seri dalam 10 perlawanan setakat ini dan Zidane dipersoalkan buat kali pertama mengenai kebolehan corak taktikal serta motivasi diterapkan olehnya.


ZIDANE (tengah) pasti mahu anak buah bangkit selepas tewas dalam kancah La Liga kepada Girona. FOTO/AFP

Di sebalik masalah itu, kunjungan ke London bertemu Tottenham di laman sementara kelab, Wembley mungkin memberi ujian baharu buat moral Madrid.

Namun Zidane melihatnya daripada sudut berbeza dan pengurus Madrid itu percaya penampilan pertama kelabnya di arena terkenal dunia itu mungkin memberi kesan positif kepada pasukannya.

“Wembley satu tempat penting dalam dunia bola sepak. Ia satu gelanggang yang hebat untuk bermain menentang pasukan yang juga hebat,” kata Zidane di Wembley. “Tidak banyak keputusan menarik ketika ini tapi kami sudah bersedia untuk tugasan ini.


PENYERANG Spurs Harry Kane (tengah) kembali berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP

“Bagi saya, saya bermain di stadium lama dan ia satu pengalaman menakjubkan. Malangnya, saya tidak bermain untuk esok, tapi ia stadium yang cantik dan ia akan menjadi sesuatu yang hebat.”

Real yang menjulang gelaran Eropah ke-12 musim lalu terikat 1-1 di laman sendiri dengan Tottenham awal bulan ini dan ia satu keputusan yang tidak meyakinkan daripada anak buah Zidane.


PENYERANG Real, Cristiano Ronaldo (kiri) sedia gempur benteng Spurs. FOTO/AFP

Namun Zidane sekali lagi pantas menafikan mengenai faktor semangat lemah dialami kem Real ketika ini dan mereka akan menggunakan kritikan sebagai motivasi berguna bagi menutup mulut pengkritik.

“Mungkin ada sesetengah pihak yang berfikir sebegitu selepas kekalahan kami namun itu bukan masalahnya,” katanya.

“Anda tahu bagaimana bola sepak, kadangkala anda tewas dan ia mengecewakan.

“Perkara utama kami tidak mengambil kisah mengenainya. Ia tidak akan mengubah cara kami, kami akan mencari kemenangan. Selepas kekalahan, mereka tidak gembira tapi ada kalanya saya menyukainya. Saya gemar apabila kami mempunyai perlawanan penting untuk diharungi. Saya dapat merasakan saya mampu melakukan yang terbaik dalam situasi sebegini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 9:30 AM