ARSENE Wenger
AFP

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendapat sokongan penuh pemegang saham terbesar, Stan Kroenke yang menyifatkan pengendali Perancis itu sudah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Wenger berdepan tekanan musim lalu apabila pasukannya gagal layak ke Liga Juara-Juara dan ramai penyokong meluahkan rasa tidak puas hati termasuk mendesak beliau melepaskan jawatan yang sudah dipegang sejak 21 tahun lalu.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 68 tahun itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun selepas Arsenal mengalahkan Chelsea di final Piala FA.

Kroenke berkata, beliau dan ahli lembaga pengarah kelab mengambil tindakan tepat dengan terus menawarkan kontrak baru kepada Wenger.

“Jawapan paling mudah ialah kami perlu melakukan sesuatu,” kata Kroenke.

“Adalah lebih sukar untuk tidak melakukan apa-apa. Kami sudah beberapa kali berdepan situasi sama di organisasi berbeza dan apa yang kami tahu ialah Arsene menjalankan tugasnya dengan baik dan beliau individu paling tepat untuk membimbing kelab.

“Saya rasa beliau menumpukan perhatian yang lebih kepada kelab. Beliau mahu menang dan saya tidak melihat bahawa beliau ada melakukan kesilapan,” kata Kroenke.

Kroenke yang turut memiliki beberapa kelab lain dalam sukan berbeza seperti Los Angeles Rams di saingan NFL dan Denver Nuggets di NBA, berkata tidak timbul isu mengapa beliau harus menjual 67 peratus pegangan sahamnya di dalam Arsenal.

“Cuba lihat sejarah kami,” kata ahli perniagaan Amerika Syarikat berusia 70 tahun itu yang tidak begitu popular di kalangan penyokong Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:08 AM