WEE Wern (kanan) cedera serius apabila ligamen lutut kiranya terkoyak pada Mac 2015. FOTO/OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern bakal kembali beraksi selepas sekian lama menyepi akibat dihantui kecederaan berulang.

Terpaksa menjalani pembedahan di London, November lalu dan terpaksa menarik diri daripada Kejohanan berpasukan Wanita Dunia, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) yakin Wee Wern masih lagi antara pemain terbaik negara.

Pengarah SRAM, S Maniam berkata, semangat Wee Wern cukup luar biasa dan atlet berusia 26 tahun dari Pulau Pinang itu sudah kembali menjalani latihan di dalam gelanggang dan semakin pulih daripada kecederaan.

Justeru, katanya, SRAM menaruh keyakinan yang tinggi dan berharap Wee Wern menjadi antara pemain yang akan memperkuatkan cabaran pasukan wanita pada Sukan Komanwel di Gold Coast, tahun depan.

“Wee Wern seorang pemain yang hebat. Dia sanggup mengorbankan apa saja biarpun terpaksa menempuh banyak pembedahan dan melalui proses pemulihan yang lama. Semua itu sanggup dilakukannya hanya kerana mahu bermain untuk negara.”

“Dia kini dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan dan sedang menjalani proses pemulihan,” katanya yang mengesahkan Wee Wern tidak akan beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia bermula Isnin ini.

Wee Wern pernah menghuni ranking kelima dunia dan menjadi pemain kedua terbaik negara di belakang Datuk Nicol David.

Namun, dia dihantui kecederaan serius apabila ligamen lutut kiranya terkoyak pada Mac 2015 sebelum terpaksa menjalani satu lagi pembedahan di London, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:35 PM