SYAMER (kiri) mendapat pengalaman berharga ketika mewakili negara menentang Hong Kong. FOTO/REUTERS
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


SYAMER Kutty Abba mengakui penampilan sulungnya bersama skuad Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lalu cukup bermakna dan berharga.

Menurut pemain muda berusia 20 tahun kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak menyangka diberi kepercayaan oleh Nelo Vingada untuk mengemudi ‘enjin’ pasukan tatkala aksi berkenaan cukup penting buat Malaysia.

“Saya macam tak percaya jurulatih menyebut nama saya untuk memulakan aksi dalam kesebelasan utama sedangkan ada lagi pemain senior yang boleh diletakkan bagi aksi hidup mati itu.”

“Namun, saya ambil positif dan cuba beri persembahan terbaik pada perlawanan itu. Alhamdulillah, saya dapat juga bantu pasukan walaupun kami tewas.”

“Apapun, saya anggap penampilan pertama ini sebagai pengalaman berharga dan mampu melonjakkan semangat saya untuk terus berusaha meningkatkan prestasi untuk kekal bersama pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Malaysia tumbang 0-2 di tangan Hong Kong untuk kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan satu mata.

Syamer antara lima pemain muda dari skuad bawah 22 tahun negara (B-22) yang diketengahkan Vingada terdiri daripada penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Matthew Davies, Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Adam Nor Azlin (Selangor).

Bagaimanapun, Azam tidak dapat bersama pasukan ke Hong Kong berikutan masalah kesihatan kakaknya.

Aksi cemerlang Syamer bukan saja mendapat pujian Vingada, malah ia menarik minat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu lebih ramai pemain muda diberi peluang membarisi skuad senior.

“Bukan saya seorang, malah saya percaya ramai lagi kawan (dari skuad B-22) boleh bermain di peringkat tertinggi ini. Berdasarkan bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman seperti Vingada, saya yakin kami boleh belajar sesuatu daripada beliau yang bijak menyusun strategi biarpun dihantui masalah kecederaan pemain,” kata Syamer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:22 PM