PEMAIN Spurs sedang gigih berlatih.
AFP

LONDON: Mauricio Pochettino mengakui Tottenham Hotspur tidak mampu bersaing dengan dua kelab Manchester yang menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada sudut pembelian pemain.

Skuad bimbingan Pochettino yang bergelut untuk mengatasi Bournemouth di Wembley, Sabtu lalu kini berharap untuk merapatkan jurang lima mata di belakang Manchester City dan United yang berkongsi tangga pendahulu.

Kedua-dua kelab tetangga itu berbelanja besar ketika jendela perpindahan dan Pochettino mengakui kekuatan kewangan City dan United yang menyaksikan pasukan seperti Tottenham terpaksa menggunakan strategi berbeza untuk bersaing ketika jendela perpindahan.

“Perbezaan di antara kelab di Liga Perdana Inggeris ketika ini adalah kelab seperti City dan United yang menandatangani pemain yang mereka mahukan dan bila mereka mahukan.

“Kemudian ada pasukan yang besar, seperti kami, yang hanya menandatangani pemain apabila kami boleh dan bila kamu boleh. Ia adalah perbezaan yang besar pada hari ini,” katanya kepada beIN Sports.

Tottenham mengharungi rehat antarabangsa dengan mengekalkan rekod dalam kempen liga dengan kemenangan di Huddersfield Town.

Tetapi di gelanggang sementara Wembley, skuad bimbingan Pochettino terus bergelut dan hanya mengutip dua mata daripada tiga aksi di Liga Perdana setakat ini.

Sebarang keputusan selain kemenangan ke atas Bournemouth yang ketika ini menghuni tangga kedua tercorot liga dianggap sebagai kekecewaan yang besar.

Pochettino pasti berharap penyerang berbisanya, Harry Kane untuk terus merobek gawang pasukan lawan.

Penyerang England yang tersenarai bagi anugerah Ballon d’Or minggu ini sudah menjaringkan 15 gol daripada 10 perlawanan terakhir untuk kelab dan negara.

Ia termasuk ketika England menang 1-0 ke atas Slovenia dan Lithuania dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:06 PM