KANTE alami kecederaan hamstring ketika bersama Perancis. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte perlu memikirkan bagaimana untuk mengatasi ketiadaan bintang tengah, N’Golo Kante ketika Chelsea berusaha memulihkan kembali pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Crystal Palace, esok.

Conte menutup aksi sebelum rehat antarabangsa dengan keputusan mengecewakan apabila tewas di laman sendiri kepada Manchester City, sekali gus jatuh ke tangga keempat liga, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu.

Dan penyandang juara itu berdepan satu lagi situasi mengecewakan apabila Kante mengalami kecederaan hamstring ketika bersama Perancis.

Cante, 26, terpaksa dipapah keluar ketika kemenangan 1-0 ke atas Bulgaria dan selepas kembali ke Stamford Bridge dan diuji oleh doktor kelab, dia kini berkemungkinan terpaksa disisihkan selama sebulan.

Ketika Conte yakin skuad bimbingannya tidak bermasalah untuk menewaskan Palace yang menghuni tangga terakhir, ketiadaan Kante yang beraksi baik sepanjang kempen setakat ini dijangka menyukarkan kelab dari London terutama bagi aksi Eropah.

Conte juga dijangka kehilangan penyerang Alvaro Morata yang mengalami kecederaan hamstring ketika tewas kepada City dan sekali pun tidak begitu serius, dia dijangka tidak akan diturunkan di Selhurst Park.

Pengurus dari Itali itu dipercayai berang dengan kegagalan kelab untuk membawa masuk beberapa pemain ketika jendela perpindahan dan keputusannya untuk menggantikan Morata dengan pemain tengah Willian meningkatkan lagi spekulasi itu.

Satu-satunya penyerang senior yang masih ada ialah Michy Batshuayi tetapi Conte turut menyatakan kemungkinan untuk menyenaraikan Eden Hazard sebagai penyerang.

Hazard tampil kali pertama dalam kesebelasan utama menentang City dan penyerang Belgium itu memberi amaran ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuknya mengatasi kesan akibat kecederaan jangka panjang yang dialaminya.

“Saya merindui bola sepak selama tiga bulan dan tidak mudah untuk saya kembali selepas kecederaan yang besar tetapi saya melakukannya,” kata Hazard.

“Saya bersenam ketika musim panas. Saya hanya mahu bermain bola sepak. Saya akan terlepas beberapa perlawanan, saya akan bermain dengan buruk untuk beberapa perlawanan.

“Saya hanya mahu bermain bola sepak dan cuba untuk memberikan yang terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:48 PM