Messi rai kejayaan sementara dua pemain Ecuador Maximo Banguera (kiri) dan Enner Valencia kecewa gagal ke Piala Dunia. FOTO EPA/AFP
Daily Mail

LIMA pemain Ecuador dikenakan hukuman penggantungan daripada bolasepak antarabangsa atas masalah disiplin.

Mereka dituduh menyelinap keluar daripada hotel penginapan pasukan sebelum mengalami kekalahan 3-1 pada saingan kelayakan Piala Dunia kepada Argentina di Quito, menurut Persekutuan Bolasepak Ecuador, hari ini.

Perlawanan berlangsung awal pagi kelmarin begitu penting buat Argentina yang memerlukan mata demi mencerahkan peluang ke Piala Dunia di Russia 2018.

Skuad tuan rumah mendahului awal perlawanan tetapi Lionel Messi meledak jaringan hatrik sekaligus mengesahkan kemaraan Argentina ke pusingan final tahun depan.

Lima pemain terbabit bagaimanapun tidak didedahkan.

“Sebaik laporan ketua jurulatih, Jorge Celico berhubung segala maklumat dan fakta, jawatankuasa sebulat suara menggantung lima pemain itu daripada terbabit semua aktiviti bolasepak kebangsaan Ecuador,” menurut FA dalam satu kenyataan.

Ecuador memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan tetapi hanya menang dua daripada 14 selepas itu.

Keputusan itu meletakkan mereka tercicir ke tangga kelapan dalam saingan kumpulan 10 pasukan dan gagal melepasi kelayakan ke Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:03 PM