MASCHERANO adalah pemain kedua paling banyak beraksi bersama Argentina dengan 139 penampilan. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Pemain tengah veteran Argentina, Javier Mascherano berkata, dia akan bersara daripada aksi antarabangsa selepas berakhirnya kempen Piala Dunia 2018 di Russia.

Bintang kelab Barcelona itu yang menjengah usia 34 tahun pada Jun 2018 adalah pemain kedua paling banyak beraksi bersama Argentina dengan 139 penampilan dan beraksi ketika kalah kepada Jerman di pentas final 2014.

Dia juga adalah pemain yang empat kali menamatkan saingan Copa America selaku naib juara apabila Argentina tewas di pentas final pada 2004, 2007, 2015 dan 2016.

“Tempoh saya bersama skuad kebangsaan berakhir di Russia, saya tidak akan meneruskannya,” kata Mascherano kepada stesen televisyen Argentine, TyC Sports.

“(Jurulatih Jorge) Sampaoli akan memutuskan sama ada saya patut disenaraikan bagi Piala Dunia atau tidak.”

Mascherano beraksi dalam kesebelasan utama Argentina yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ecuador dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, sekali gus mengesahkan tempat di pusingan akhir tahun depan.

Dia hanya kurang empat penampilan untuk menyamai rekod Argentina yang dipegang legenda Inter Milan, Javier Zanetti.

Mascherano menyertai Barcelona dari Liverpool pada 2010 dan memiliki kontrak di Camp Nou sehingga 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:27 AM