POGBA dijangka tidak dapat diturunkan menentang Reds kerana dibelenggu kecederaan.
Reuters

London: Anggota skuad Liverpool dan Manchester United yang mewakili negara masing-masing perlu melupakan keletihan pada aksi antarabangsa sebaliknya mengalihkan perhatian terhadap perlawanan paling mendapat tumpuan di England Sabtu ini.

Menurut Sky Sports pemain kedua-dua pasukan menempuhi perjalanan jauh untuk mengambil bahagian dalam kelayakan Piala Dunia sejak aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, tetapi semuanya kini tertumpu ke Anfield apabila pasukan liga utama Inggeris itu kembali beraksi selepas rehat dua minggu dengan menjanjikan pertarungan hebat.

Penangguhan liga berkenaan bagaikan tidak menyebelahi United yang menang tiga aksi terakhir Liga Perdana dengan sembilan jaringan tanpa bolos, biarpun kedua-dua pasukan tidak berada dalam kelompok bawahan.

Skuad Jose Mourinho, pendahulu bersama dengan 19 mata daripada tujuh pasukan dengan Manchester City berharap dapat meneruskan momentum mereka dalam apa yang dikatakan ujian terbesar mereka setakat ini.

Prestasi Liverpool sebaliknya kurang meyakinkan dan skuad Juergen Klopp yang dibelenggu masalah dibahagian pertahanan, tujuh mata di belakang pendahulu membabitkan kedua-dua kelab Manchester.

Mereka juga gagal mencatat sebarang kemenangan ke atas musuh ketat mereka United dalam enam aksi terakhir, tetapi Mourinho berkata, rekod terkini tidak akan memberi kesan dalam perlawanan Sabtu ini.

“Dalam perlawanan seperti ini, setiap saat begitu berharga,” kata Mourinho.

“Kami bermain menentang pasukan yang bagus dengan pemain hebat. Prestasi tidak penting, masanya juga tidak penting. Perlawanan ini mempertaruhkan tiga mata.”

United bakal kehilangan khidmat pemain tengah Marouane Fellaini, yang cedera lututnya ketika beraksi mewakili Belgium menentang Bosnia manakala Paul Pogba masih tidak dapat beraksi berikutan kecederaan.

Liverpool bagaimanapun turut berdepan kehilangan signifikan apabila penyerang mereka Sadio Mane direhatkan enam minggu selepas cedera hamstring ketika mewakili Senegal.


REDS hilang taring selepas Mane dilanda kecederaan hamstring ketika mewakili Senegal.

City yang mencipta jurang perbezaan gol yang besar pada permulaan cemerlang mereka pada kempen ini menanti kunjungan Stoke City dengan penyerang Sergio Aguero dijangka kembali selepas pulih daripada kecederaan rusuk dalam kemalangan kereta bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:02 AM