AFP

Shanghai: Juan Martin del Potro (gambar) bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan bintang muda Alexander Zverev dan mara ke suku akhir Masters Shanghai semalam.

Pemain berpengalaman dari Argentina itu bangkit sebelum menang 3-6, 7-6 (7/5), 6-4 dalam tempoh satu jam, 55 minit menentang Zverev,20, dan akan menentang sama ada Viktor Troicki atau John Isner.

Zverev memburu gelaran keenam sepanjang musim cemerlangnya dan selesa pada set pertama berdepan Del Potro, juara Terbuka Amerika Syarikat 2009 dan juga pilihan ke-16.

Bintang baru Jerman dan pemain berusia 29 tahun yang terjejas kariernya akibat kecederaan beraksi sengit dalam set kedua dan begitu juga dalam penentuan tie break sehinggalah Del Potro berjaya memanfaatkan kesempatan.

Ia menjadi titik tolak kemenangan Del Potro dan mencetuskan kemarahan pilihan ketiga Zverev ketika melakukan servis break sebelum ketinggalan 2-3 pada set ketiga.

“Ketika ini saya memang bengang, seperti anda boleh katakan,” kata Zverev, yang sebelum itu menghempas raket ke gelanggang dan memijaknya dan mengetuknya ketika kembali ke kerusi.

Seorang pengunjung sekurang-kurangnya bertuah mendapat ‘cenderahati’ itu apabila Zverev menyerahkannya kepada penonton.

“Saya tidak faham bagaimana boleh kalah di mana servis saya hanya dipatahkan sekali dalam tiga set dan gagal merebut peluang ke atas servisnya,” kata Zverev, pemain nombor empat dunia yang dijangka bakal menakluki tenis dunia.

“Saya agak berang kerana saya rasa sudah bermain dengan baik dan itulah saya kecewakan. Saya sepatutnya meraih pencapaian cemerlang dalam kejohanan ini.” AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:43 AM