PEMAIN Kelab Meerkat Wilson bergambar kenangan selepas muncul juara.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kelab Meerkat Wilson Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara Kejohanan Tenis Jemputan Antara Pasukan DTC kali keempat selepas menewaskan Arena Kelab Jakarta dalam satu perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Tenis Jalan Sultan Abdul Halim baru-baru ini.

Perlawanan yang dianjurkan oleh Kelab Tenis Jalan Duta dan Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur menyaksikan Kelab Meerkat Wilson mempertaruhkan barisan pemain handalan mudah menjinakkan lawan.

Manakala Kelab Victor Riau terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas menewaskan Padang Tenis Kelab, Riau.

Juara membawa pulang wang tunai serta piala pusingan, iringan dan pingat.

Setiausaha kelab tenis Duta Mohd Fauzi Mohd Yusof berkata, penganjuran kali keempat itu membabitkan penyertaan sebanyak 18 pasukan dari kelab tempatan dan juga beberapa pasukan dari Indonesia.

Katanya, sambutan yang menggalakkan setiap kali dianjurkan mendorong pihaknya untuk terus menganjurkan kejohanan itu.

“Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama pemain selain dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan di tahap maksimum.

“Saya gembira kejohanan ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat perhatian dan penyertaan dari kelab luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:40 AM