TRIO memanah negara (dari kanan) Khairul, Akmal dan Haziq sandaran NAAM untuk peroleh pingat di Mexico.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tidak meletakkan harapan tinggi kepada 12 atletnya yang menggalas cabaran di Kejohanan Dunia di Mexico yang bermula hujung minggu nanti.

Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan menjelaskan, mereka tidak mahu memberikan tekanan yang melampau kerana sedar saingan yang cukup tinggi bakal dihadapi skuad bimbingan ketua jurulatih, Lee Jae-hyung.

“Bagi NAAM, jika mereka mampu berada pada kedudukan 10 terbaik dunia, ia sudah memadai kerana semua negara dijadual menghantar pemanah terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai peluang meraih sebarang pingat, Abdul Hamid menegaskan tumpuan akan terarah kepada trio recurve negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin.

“Mereka menjalani latihan di Korea Selatan selepas berakhirnya cabaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu. Jadi, kita mengharapkan sesuatu yang positif mampu dipamerkan mereka,” tambahnya.

Barisan pemanah negara yang turut menyenarai enam pemanah compound lelaki dan wanita berlepas ke Mexico, malam tadi.

Edisi ke-49 kejohanan itu akan bermula Ahad ini di Mexico City, membabitkan 376 atlet (201 recurve dan 175 compound) dengan menawarkan 10 pingat secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:58 PM