BACH (tengah) mengumumkan Paris dan Los Angeles akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 dan 2028. -FOTO/AFP
AFP

LIMA: Paris dan Los Angeles meraikan kejayaan mereka dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2024 dan 2028 di sini awal pagi tadi, mencetus berita baik buat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ketika mereka menangani dakwaan rasuah.

Dalam rumusan tanpa drama bagi bidaan tiga tahun itu, ahli IOC mengundi secara sebulat suara untuk mengesahkan perjanjian yang dirangka Julai lalu bahawa Paris diberi hak tuan rumah 2024 manakala Los Angeles 2028.


DELEGASI ahli OIC AS gembira dengan pengumuman tersebut. -FOTO/ AFP

Keputusan yang dijangka itu tidak menghalang majlis keraian di Pusat Konvensyen Lima, yang mana pegawai Paris dan Los Angeles berteriak serta saling mengucap tahniah.

Presiden IOC Thomas Bach - pendokong utama di sebalik keputusan untuk mengesahkan 2024 dan 2028 pada masa sama - menyanjung keputusan itu sebagai “menang-menang-menang.”

“Ia sesuatu yang luar biasa, kemenangan unik,” kata pemimpin bersama bidaan Paris 2024, Tony Estanguet ketika Presiden Perancis Emmanuel Macron menyanjungnya sebagai “kemenangan buat Perancis.”

“Ini adalah jawapan yang tepat, ia mengenai persaudaraan, persahabatan dan mengenai mencari formula menang-menang,” kata Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti.

Olimpik 2024 bermakna kali ketiga Paris menjadi hos Olimpik, hadir genap 100 tahun selepas mereka kali terakhir menjadi tuan rumah temasya terbesar dunia itu. Sejak itu, tiga bidaan Perancis untuk menganjurkan Olimpik gagal.

“Ia satu perasaan hebat penuh kegembiraan untuk membawa semula temasya ini ke Paris selepas 100 tahun,” kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.

Olimpik 2028 kali pertama diadakan di Amerika Syarikat sejak temasya kelam-kabut di Atlanta pada 1996.

Ia juga menandakan kali ketiga Los Angeles menjadi hos Sukan Olimpik selepas kejayaan edisi 1932 dan 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:34 PM