Fatehah Mustapa meraikan kecemerlangannya memenangi empat pingat emas acara basikal KL2017. - Foto HAZREEN MOHAMAD
BERNAMA

RATU pecut negara, Fatehah Mustapa muncul pelumba berbasikal negara memenangi banyak pingat emas paling banyak dalam satu temasya Sukan SEA apabila merangkul emas keempat selepas berakhirnya acara keirin, malam tadi.

Sebelum ini, pelumba kelahiran Terengganu itu menjuarai acara pecut individu dan dan berpasukan dan ujian masa 500m serta mencipta dua rekod kebangsaan.

“Ini permulaan yang baik untuk bangkit semula menyumbang pingat untuk negara serta berharap mata yang diraih pada Sukan SEA ini mampu melayakkan saya ke siri Piala Dunia musim depan,” katanya di Velodrom Nasional, Nilai.

Pelumba berusia 28 tahun itu berkata pencapaian di sini diharap dapat menebus kekecewaan beraksi baik pada Sukan Olimpik Rio 2016, berikutan masalah kesihatan bapanya.

“Kesihatan ayah sudah beransur pulih dan kekuatan mental dan fizikal saya kembali seperti biasa dan harap dapat mengekalkan momentum ini bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan serta Sukan Olimpik 2020 Tokyo,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:40 PM