MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (enam kanan) bergambar bersama pasukan bola keranjang lelaki dan wanita negara pada majlis penyerahan bendera.
Devinder Singh
devinder@nst.com.my


Kuala Lumpur: Selepas mempamer aksi cemerlang bersama skuad bola keranjang kebangsaan ketika sesi Jelajah New Zealand baru-baru ini, atlet Malaysia kelahiran Amerika Syarikat, Perry Lim tidak sabar untuk bermain di depan penyokong sendiri di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Nama Perry (gambar), 19, dipilih dalam senarai 12 pemain negara yang akan memburu pingat buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun dan Malaysia bakal memulakan saingan dengan menentang Myanmar pada 20 Ogos.

Dilahirkan di Illinois, Perry bukan asing kepada peminat sukan berkenaan kerana dia sering pulang ke Malaysia untuk mengunjungi ibu bapanya di Pulau Pinang.

Perry yang juga anak kepada bekas pemain kebangsaan, Billy Lim, memiliki potensi besar dan bakatnya dikesan menerusi pertandingan peringkat umur yang dilangsungkan di Pulau Pinang sebelum dipelawa menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan.

“Saya mula bermain bola keranjang ketika masih kanak-kanak dan bakat saya dikesan ketika bermain di Pulau Pinang,” kata Perry selepas senarai pemain ke Sukan SEA diumumkan di Stadium Maba, semalam.

“Jurulatih sebelum ini pernah bertanya sama ada saya mahu menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan dan saya akhirnya dipilih. Justeru, saya gembira kerana dapat melakukan sesuatu untuk pasukan.

“Ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup dan saya tidak mahu mengecewakan diri sendiri. Saya gembira dapat menyarung jersi Malaysia dan berharap dapat melakukan sesuatu di Sukan SEA nanti.”

Skuad Malaysia dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Chee Li Wei, Soo Eng Heng dan Chan Kek Thai. Perry berjaya menyelitkan namanya selepas aksi baik yang dipamerkan ketika kunjungan ke New Zealand.

“Ia memang hebat,” kata Perry. “Saya sukakan suasana baru ini. Ia pengalaman hebat buat pasukan dan kami bekerjasama dengan baik.

“Saya percaya kami sudah mencipta keserasian dan saya harap ia adalah persiapan terbaik kami untuk Sukan SEA. Saya yakin kami memiliki peluang cerah untuk memenangi emas.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:35 AM