KHAIRY (kanan) melakukan senamrobik diringi Tunku Imran (tengah) dan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin (tiga kanan).
KAMALUDIN (kiri) menyaksikan Khairy menerima obor daripada Rizalman (dua kanan) di Kompleks Sukan Bukit Jalil, semalam.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bahang kehangatan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) semakin terasa dengan obor temasya akhirnya tiba di venue utama temasya, KL Sports City.

Venue terakhir itu menyaksikan lebih 200 peserta tampil menghangatkan larian yang bermula di stesen MRT Taman Midah dan dibawa Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar sambil diiringi kakitangan Telekom Malaysia (TM) selain penyokong Team Malaysia.

Istimewanya Larian Obor terakhir yang mendapat liputan meluas itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membawa obor memasuki stadium.

Stadium Nasional turut dibanjiri orang ramai yang mahu melihat secara dekat obor temasya yang menjelajah ke seluruh negara sebelum ini.

Hampir separuh daripada orang ramai yang hadir mengenakan kemeja-T Team Malaysia (belang Harimau Malaya) bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah-bagi kepada acara Larian Obor serta tanda pembakar semangat buat atlet negara yang akan mengambil bahagian di temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Hadir sama menyertai larian terakhir itu adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Datuk Seri Zolkples Embong dan Pengurus Besar TM, Kamaludin Mohsin.

TM yang juga penaja platinum bagi temasya dwitahunan itu membuktikan sambutan luar biasa dan sokongan padu yang diberikan kakitangannya pada majlis semalam mampu menjadi contoh terbaik buat seluruh rakyat Malaysia untuk ‘Bangkit Bersama’ menyokong kontinjen negara.

Malah, Kamaludin meluahkan rasa gembira dengan sokongan yang ditunjukkan penyokong negara menjelang temasya penuh gemilang Sukan SEA Sabtu ini.

Katanya, TM memainkan peranan penting penyediaan infrastruktur telekomunikasi di semua lokasi acara KL2017 selain berperanan menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memberikan sokongan padu kepada atlet kebangsaan di KL2017 nanti.

“Team Malaysia memperkenalkan program Team Malaysia Campus Tour 2017 yang akan mengumpulkan penyokong di kalangan remaja dari seluruh negara bagi KL2017.

“Bagi memeriahkan KL2017, Team Malaysia juga akan menganjurkan Sports Carnival/Viewing Party di lokasi tertentu bagi menyatukan rakyat Malaysia dan memberi sokongan kepada atlet yang bakal bertanding pada KL2017 nanti,” katanya.

Larian Obor terakhir itu bermula jam 6.30 pagi menyusuri Jalan Permaisuri, Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak dan Jalan Persiaran Mewah sebelum dibawa masuk ke perkarangan Stadium Hoki Bukit Jalil untuk diserahkan kepada Khairy.

Inisiatif syarikat gergasi telekomunikasi itu bersama meriahkan Larian Obor KL2017 ke seluruh negara membuktikan semangat luar biasa yang dimiliki bagi membangkitkan sokongan kepada atlet negara.

Ia membuktikan tiada yang mustahil mampu dicapai atlet negara sekiranya melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Secara simbolik, ia juga langkah menyeru rakyat Malaysia bersama TM dalam memberi sokongan kepada atlet negara yang diletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 Sukan SEA kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:33 AM