KHE Wei (kanan) dan Vivian antara sandaran emas skuad badminton.

Kehangatan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) nampaknya semakin hampir dengan setiap atlet kini saya sifatkan berada pada persiapan terakhir untuk memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya dwi tahunan itu.

Saya lihat semangat itu juga tidak terkecuali dirasai dalam kem badminton negara apabila pemain yang terbabit dengan temasya ini begitu bersungguh-sungguh menjalani latihan.

Fokus utamanya pasti terarah kepada beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang diletakkan sebagai sandaran utama memenangi dua pingat emas, jumlah yang menjadi sasaran rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Vivian-Khe Wei mempunyai pengalaman yang cukup luas kerana pernah memenangi emas pada edisi 2013 di Myanmar.

Bagi saya, mereka mempunyai peluang cerah untuk kembali meraih emas selepas melihat kesungguhan kedua-duanya ketika sesi latihan.

Kejayaan muncul juara Terbuka New Zealand baru-baru ini juga pastinya memberi suntikan semangat yang cukup besar untuk mereka berdua yang sebelum ini dilihat melalui prestasi mendatar.

Manakala untuk Soon Huat-Shevon, walaupun dilabel sebagai pasangan baru, kedua-duanya sudah membuktikan tidak rugi untuk meletakkan kepercayaan kepada mereka.

Kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri dan tidak mustahil untuk mereka menyumbang satu pingat emas buat kontinjen negara.

Selain memberi tumpuan kepada kedua-dua pasangan beregu negara itu, saya amat berharap acara berpasukan lelaki juga mampu mara ke final.

Sebenarnya, saya yakin barisan pemain lelaki negara mampu melakukannya kerana cabaran hanya datang daripada Indonesia dan Thailand.

Mengapa saya begitu menekankan kepada acara berpasukan? Kerana bagi saya inilah antara acara yang perlu kita jaga.

Selaku tuan rumah dan juga antara kuasa badminton, kita seharusnya cemerlang dalam acara berpasukan.

Walaupun impak Sukan SEA tidaklah begitu besar seperti Piala Thomas, namun sekurang-kurangnya kita boleh meletakkan status sebagai kuasa Asia Tenggara jika mampu meraih emas.

Saya juga ternanti-nantikan persembahan daripada barisan pemain muda negara yang akan membuat penampilan pertama di temasya dwitahunan ini.

Ingatan saya, jangan berasa gugup dan memberi tekanan kepada diri sendiri sehingga tidak mampu memberikan yang terbaik ketika beraksi di atas gelanggang.

Faham-faham sajalah selaku pemain tuan rumah pastinya sedikit sebanyak tekanan itu akan dirasai apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

Buktikan anda juga mampu menyumbang pingat walaupun warnanya bukan emas. Sebab sekurang-kurangnya anda sudah mencuba yang terbaik dan warna itu mungkin akan bertukar kepada emas pada edisi Sukan SEA seterusnya.

Ketika kita memberi tumpuan kepada atlet negara yang beraksi di KL2017, jangan lupa pula Jalur Gemilang kita juga berkibar di bumi Glasgow, Scotland sempena Kejohanan Dunia.

Doakan kejayaan untuk barisan pemain kita terutamanya Datuk Lee Chong Wei yang sedang memburu status juara dunia buat kali pertama.

Kembali kepada Sukan SEA, untuk atlet negara lain, ayuh buktikan sorakan keramat ‘Malaysia Boleh’ mampu membangkitkan semangat kepada anda untuk memenuhi sasaran 111 pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan! Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:27 AM