KIM Swee (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan skuad B-22.

Shah Alam: Pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mahu kelebihan sebagai tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain apatah lagi dengan sokongan padu penyokong tempatan di sepanjang kempen memburu ibu emas Sukan SEA kali ini.

“Kita perlu menggunakan setiap kelebihan yang ada dan faktor penyokong amat membantu pemain, tanpa mengambil kira siapa lawan kita,” kata Kim Swee ketika sidang media selepas mengumumkan senarai akhir 20 pemainnya di Shah Alam, semalam.

“Setiap perlawanan penting bagi kita terutamanya pada aksi pembukaan menentang Brunei, Isnin (esok).

“Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, saya pasti kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri mampu menjadi faktor yang membezakan kita dengan pasukan lawan.

“Pada tiga edisi sebelum ini, saya membawa pasukan bersaing di tempat lawan. Sudah tentu ia jauh lebih sukar kerana banyak perkara di luar kawalan kita.

“Jadi sebagai tuan rumah, kita tidak boleh mensia-siakan kelebihan itu dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya.”

Kim Swee turut mengharapkan kehadiran kumpulan penyokong setia bola sepak negara, Ultras Malaya walaupun sedar mereka hanya memberi tumpuan kepada skuad senior kebangsaan.

“Ketika skuad muda negara menjuarai Pestabola Merdeka 2013, Ultras Malaya antara tonggak penting yang mendorong kami mencapai kejayaan itu, dan saya harap perkara sama dilakukan pada temasya ini,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:20 AM