PAULINHO (tengah) direhatkan bersama dua lagi pemain.

Hong Kong: Luiz Felipe Scolari menafikan laporan beliau bertelagah dengan pemain Guangzhou Evergrande, Paulinho ketika media Sepanyol terus mempersoalkan masa depan pemain tengah itu bersama kelab Liga Super China.

Pemain berusia 28 tahun itu cuba diburu Barcelona beberapa kali selepas aksi mantap bersama kelab dan pasukan kebangsaan Brazil.

Akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo melaporkan Scolari menyingkirkan Paulinho daripada latihan awal minggu lalu kerana kurang fokus disebabkan cubaan Barcelona untuk membelinya, namun jurulatih yang memenangi Piala Dunia itu menyatakan laporan itu tidak benar.

“Paulinho berlatih sepanjang minggu dan anda lihat bagaimana dia bermain hari ini,” kata Scolari selepas Guangzhou menang 2-1 ke atas Shandong Luneng dalam aksi Liga Super China, kelmarin.

“Saya lihat laporan itu, ia menyatakan saya menyingkirkan Paulinho daripada sesi latihan. Sebenarnya saya mengeluarkan Paulinho, Yu Hanchao dan Li Xuepeng untuk berehat, tapi mereka hanya lihat Paulinho.

“Jika mereka tidak fikir Paulinho seorang pemain profesional dan dia akan berdepan perlawanan itu dengan sikap negatif, mereka silap.”

Paulinho menyertai Guangzhou dari Tottenham Hotspur pada Jun 2015, membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara Asia dan dua kejuaraan Liga Super China. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 3:11 PM