Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Putrajaya: “Kali ini saya menang dengan penuh yakin,” ujar pemain perseorangan wanita negara, S Kisona (gambar) yang berjaya menggondol gelaran Siri Antarabangsa Malaysia selepas menumpaskan rakan senegara, Lee Ying Ying pada perlawanan akhir semalam.

Menurut pemain dari Negeri Sembilan itu, sebelum ini selepas berjaya muncul juara Siri Antarabangsa Indonesia dia tidak melakukan persiapan dengan lebih bagus berbanding di sini yang membolehkannya mencatat kemenangan 16-21, 21-15, 21-17.

“Memang rasa gembira dengan kemenangan ini kerana dalam permainan sebelum ini di peringkat awal saya tidak bermain dengan baik. Bagaimanapun, selepas berjaya mara ke perlawanan akhir saya berjaya mengatasi ketakutan dan kekurangan,” katanya selepas perlawanan di Kompleks Kejiranan Presint 11 semalam.

Jelasnya, ketika di Indonesia (Siri Antarabangsa Indonesia) dia tidak melakukan persiapan baik namun di sini dia berjaya membina keyakinan dari awal hingga ke pentas akhir.

“Setidak-tidaknya kejuaraan Siri Antarabangsa kali kedua ini berjaya meningkatkan keyakinan saya bagaimana untuk mengawal ketakutan dan tekanan. Jadi saya sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada jurulatih (Rony Agustinus) dengan semua sokongan.

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk berada dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia, saya perlu fokus satu demi satu kejohanan kerana baru masuk menjadi pemain senior,” katanya yang berharap permainannya banyak berubah di bawah ketua jurulatih perseorangan wanita, Tey Seu Bock.

Kisona yang pernah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia 2014 di Alor Setar mengakui dia perlu memberi fokus untuk memperkuatkan kaki dan fokus kepada kemahiran individu.

Turut meraih kejuaraan pasangan beregu wanita negara, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi yang mengalahkan gandingan Thailand, Kittipak Dubthuk-Natcha Saengchote 21-16, 21-17.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting berjaya mengalahkan Chen Tang Jie-Soh Wooi Yik 24-22, 21-19, manakala perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei tumpas di tangan Loh Kean Yew dari Singapura 19-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:47 PM