Kuala Lumpur: Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula Rabu ini akan dijadikan medan persiapan terakhir Zulfadli Zulkiffli (gambar) sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow bulan depan.

Juara remaja dunia 2011 itu berkata, sebelum ini dia melakukan persiapan untuk penampilan kedua pada kejohanan itu dan perlu menyelesaikan beberapa perkara.

“Setakat ini persiapan saya berjalan seperti yang saya inginkan. Dalam erti kata lain saya melakukan persiapan yang terarah kepada kecergasan fizikal. Saya juga sentiasa fokus dan menguatkan mental untuk menghadapi Kejohanan Dunia nanti,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Zulfadli mengakui Terbuka Amerika Syarikat amat penting buatnya untuk mencari kesesuaian dan rentak sebelum ke Glasgow.

Dia yang diletakkan sebagai pilihan keenam di Anaheim akan berdepan pemain dari Austria, Wolfgang Gnedt di pusingan pertama.

“Alhamdulillah setakat ini semangat saya amat tinggi bukan saja untuk saingan Terbuka Amerika Syarikat tapi termasuk Kejohanan Dunia apabila mendapat penaja baru iaitu LiteForex Russia. Bagaimanapun jumlah penajaan saya tidak boleh dedahkan.

“Penajaan ini untuk membantu saya mengambil bahagian di kejohanan yang akan disertai dan setakat ini tempohnya adalah hingga hujung tahun ini, kerana selepas ini mereka akan menimbang semula pada Januari tahun depan,” katanya.

Pada penampilan pertama Zulfadli di Kejohanan Dunia dua tahun lalu, dia mara hingga ke pusingan ketiga sebelum kalah kepada Wei Nan dari Hong Kong 15-21, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:46 PM