HAFIZ (kanan) meluangkan masa berjumpa Arifuddin di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.
Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) memuji langkah dua pemain bola sepak Hafiz Kamal dan Baddrol Bakhtiar memenuhi hajat penyokong setia yang mahu menemui mereka sekali pun berdepan kekangan masa kerana jadual perlawanan padat.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, persatuan itu amat berbangga dengan kedua-dua ahlinya itu serta mahu pemain lain mencontohi mereka.

“Komitmen yang ditunjukkan oleh Hafiz dan Baddrol adalah contoh betapa hubungan pemain dengan penyokong bukan sekadar semasa di dalam padang malah melangkaui sempadan itu.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan kedua-dua pemain itu terhadap masalah serta kesusahan yang sedang dihadapi oleh penyokong mereka.

“Memang PFAM amat menghargai sikap ahli yang sebegini, malah kami memang sentiasa menggalakkan mereka membabitkan diri dengan aktiviti yang membabitkan penyokong apatah lagi bila penyokong berada dalam kesusahan.

“PFAM sendiri selain bertindak sebagai badan penaung kepada pemain, juga turut menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti membantu mangsa banjir, anak yatim serta orang tua yang mana turut melibatkan ahli,” ujarnya.

Izham juga turut memuji usaha Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) serta akhbar Harian Metro kerana merealisasikan impian penyokong setia Hafiz, Mohd Ariffudin Mohd Nor Hafis bertemu pemain itu dalam pertemuan di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aiziz Shah, Subang, semalam.

Ariffudin, 9, pesakit kanser tisu tahap empat yang menyebabkan mata kirinya terjojol keluar serta mata kanan hampir buta.

Harian Metro dalam laporan muka depan pada keluaran 12 Julai lalu, memuatkan permintaan Ariffudin untuk bertemu Hafiz sebelum dijangka hilang penglihatan tidak lama lagi akibat penyakit itu.

Sementara itu, Baddrol pula meluangkan masa selama sejam menziarah penyokong setianya, Muhammad Faridz Izwan Abu Seman, 12, yang sedang menerima rawatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam, Kepala Batas, kerana menghidap kanser hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 1:16 PM