KIPRE (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim menghamburkan pujian untuk anak buahnya selepas meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Perlis 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Pengendali berusia 66 tahun itu berkata, lebih manis kejayaan itu kali pertama pasukannya meledak empat gol dalam satu perlawanan yang jelas memperlihatkan pemainnya lebih tajam di depan gawang lawan.

“Lebih menggembirakan apabila penyerang import baru dari Ivory Coast Tchetche Kipre sudah menemui sentuhan walaupun hanya meledak satu gol selepas empat perlawanan Liga Perdana dan Piala Malaysia,” kata Irfan.

Dalam aksi itu pemain kelahiran Brazil, Gabriel Davis Dos Santos meledak gol pertama diikuti Kipre (kedua) kapten Lazaro Alves (ketiga) dan bekas pemain FELDA United Mohd Ridzuan Abdunloh (keempat).

Sementara itu ketua jurulatih Perlis Syamsul Saad masih yakin pasukannya mampu kekal dalam Liga Perdana musim depan walaupun menghuni tempat ke-10 setakat ini.

“Kami hadir di Kuala Terengganu dengan menyasarkan satu mata selepas mendapati permainan kami kian meningkat selain corak permainan Terengganu tidak jauh beza.

“Bagaimanapun kami tewas kerana corak permainan individu sekali gus gus gagal mengutip sebarang mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 4:30 AM