Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari (gambar) menegaskan mahu mengakhiri penantian sembilan tahun untuk membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir memenangi trofi berkenaan pada 2008.

Menurut Helmi, kejayaan memenangi Piala Malaysia (musim lalu) dan Piala Sumbangsih (musim ini) menambah keazaman pemain untuk menghadiah trofi ketiga kepada skuad Helang Merah itu.

“Memang menjadi hasrat kami untuk memenangi Piala FA kerana Kedah sudah lama tidak memenanginya selepas kali terakhir pada 2008.

“Musim ini, berdasarkan kedudukan kita di tangga ketiga liga (Liga Super), saya yakin peluang meraih gelaran Piala FA tetap ada walaupun Pahang juga bukan calang-calang pasukan.

“Apa yang saya harapkan rakan sepasukan dapat beraksi baik dan mengikut segala perancangan jurulatih,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Pada 2008 ketika aksi final Piala FA yang menyaksikan Kedah muncul juara, Helmi tidak berpeluang bermain manakala pada 2010, mereka sekadar bergelar naib juara selepas tewas kepada Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketika ini semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali pertahanan dari Australia Zachary Michael Anderson yang mengalami sedikit kecederaan.

Helmi yang lebih mesra dengan panggilan Keon, mengakui jika Anderson tidak dapat berganding dengannya dalam perlawanan hari ini, dia percaya rakan sepasukan lain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pertahanan dari Australia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:30 AM