NAJIB bersalaman dengan Azizulhasni selepas menyampaikan imbuhan kad akses satu unit suite kediaman di Trion 888 SoHo di Seri Perdana semalam.
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu juara keirin dunia Azizulhasni Awang menjadi contoh ikutan (role model) rakyat Malaysia khususnya golongan muda dalam bidang sukan. Beliau berharap pencapaian Azizulhasni akan mendorong rakyat Malaysia mengambil bahagian dengan lebih cergas dalam bidang sukan.

“Mudah-mudahan Azizulhasni boleh menjadi ikon sebab dia berkebolehan bertutur dengan baik, mempunyai personaliti yang baik dan orangnya juga baik.

“Saya yakin Azizulhasni akan menjadi role model khususnya kepada golongan muda,” katanya pada majlis penyampaian seunit suite kediaman sumbangan Naza Corporation Holdings kepada Azizulhasni di Seri Perdana di sini semalam.

Mengenai sumbangan Naza Corporation Holdings, Najib berkata ia penghargaan sektor korporat terhadap sumbangan Azizulhasni yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang sukan.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan replika kad akses suite kediaman di Trion 888 kepada Azizulhasni.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Naza TTDI SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Suite kediaman Trion 888 dengan harga RM350,000 di Equine Park, Seri Kembangan adalah projek pembangunan Naza TTDI Sdn Bhd dan dijangka siap hujung tahun ini. Sebelum ini, pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romli - turut menerima suite kediaman Trion 888. Sementara itu, Azizulhasni yang baru tiba dari Melbourne pagi semalam berterima kasih kepada perdana menteri dan Kumpulan Naza kerana tampil memberi penghargaan dengan menghadiahkan imbuhan berkenaan.

“Saya rasa amat bersyukur. Sebelum ini, saya dimaklumkan ada majlis penghargaan daripada perdana menteri. Saya cukup terharu dan gembira.

“Apabila mengetahui perdana menteri akan menyampaikan sebuah suite kediaman bagi pihak Naza, perasaan saya bercampur baur. ”

Saya berasa emosi dan pada masa sama begitu gembira kerana bagi kita atlet yang berusaha keras selama ini tidak pernah mengharapkan pengiktirafan besar sebegini,” katanya.

Bagi Azizulhasni, beliau berkata untuk mencapai ke peringkat elit dalam bidang sukan bukan perkara mudah malah banyak berkorban termasuk berada di Melbourne 10 tahun, meninggalkan keluarga, ibu dan ayah selain menghabiskan usia muda di sana.

“Apa yang penting kita dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan.

“Sebagai ikon sukan negara, bersama jaguh sukan seperti Datuk Lee Chong Wai dan Datuk Nicol David, saya mahu terus menggalakkan generasi muda bergiat dalam bidang sukan. “Kita percaya kita boleh jadi juara dunia. Walaupun Malaysia negara kecil, kita sebenarnya boleh menjadi kuasa besar tidak kira dalam apa jua bidang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:10 AM