GOH Jin Wei.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Piala Sudirman akan dijadikan medan ujian buat dua perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah mengukur tahap kemampuan kedua-dua pemain itu dengan beberapa nama besar selain membantu skuad negara mara lebih jauh.

Perkara itu diakui jurulatih perseorangan wanita negara, Rony Agustinus yang mahu anak buahnya menggunakan kesempatan terhidang menunjukkan kemampuan masing-masing berikutan Piala Sudirman diwakili pemain terbaik dunia dari setiap negara bertanding.

“Kita tengok tahap kedua-dua pemain ini, seperti semua tahu Piala Sudirman disertai pemain terbaik dunia. Selepas mendapat ukurannya nanti baru kita boleh melakukan perancangan untuk kejohanan seterusnya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Ditanya mengenai percaturan pemain perseorangan wanita dalam aksi peringkat kumpulan menentang Jepun dan Jerman, jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, setakat ini mereka sudah ada perancangan tetapi ia boleh berubah.

“Tengok pada situasi dan keadaan pemain apabila tiba di sana, siapa yang lebih bersedia dia akan diturunkan. Pemain juga akan dinilai melalui tahap keyakinan mereka sebelum kita menyenaraikan siapa akan turun terlebih dulu. Bagaimanapun, kualiti antara kedua-dua pemain tidak jauh beza dan kita juga sudah tahu pemain yang disenaraikan Jepun dan Jerman,” katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan 1C bersama Jepun dan Jerman, perlu sekurang-kurangnya meraih naib juara kumpulan bagi mencari slot ke suku akhir.

Kejohanan berpasukan campuran ini akan diadakan di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara di Gold Coast, Australia dan berlangsung esok hingga 28 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:03 AM