Ahmad Bashah (tengah) beramah mesra dengan sebahagian daripada penyokong Kedah di dalam bas sebelum berlepas ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Wisma Darul Aman, malam ini. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melaungkan keyakinan Kedah mampu menumpaskan Pahang dan membawa pulang Piala FA.

Menurutnya, melihat prestasi pemain Helang Merah ketika ini termasuk berjaya menyingkirkan Terengganu, beliau yakin Piala FA mampu dibawa pulang ke negeri ini.

"Saya tak mahu membuat ramalan kerana apa yang lebih penting, kita berjaya di final nanti. Berapa jaringannya tak penting tetapi saya yakin kita mampu menang.

"Saya harap seluruh rakyat negeri ini sama-sama mendoakan kejayaan pasukan serta memberi sokongan padu di Stadium Shah Alam bagi meningkatkan semangat pemain," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pelepasan 16 buah bas yang bertolak ke Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan tersebut di pekarangan Wisma Darul Aman di sini 11 malam hari ini.

Ahmad Bashah turut menasihatkan penyokong supaya menjaga adab dan disiplin sepanjang berada di Shah Alam.

"Insya-Allah penyokong Kedah sentiasa berdisiplin dan perkara itu dibuktikan ketika ketika final Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih sebelum ini," katanya.

Ditanya kemungkinan kerajaan negeri akan mengumumkan cuti sekiranya Kedah muncul juara, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Sebanyak 250 bas membawa kira-kira 10,000 penyokong Kedah akan menyusuri Lebuhraya PLUS mulai malam ini hingga awal pagi esok, menuju ke Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2017.

Bas ini akan bergerak dari beberapa daerah di negeri ini seperti Jitra, Alor Setar, Pendang, Yan, Sungai Petani, Kulim, Kuala Ketil dan Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 12:34 AM