SHAMIRUL (kiri) menewaskan pemain dari Taipei. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


PEMAIN bukan pilihan Shamirul Shahril mencipta keajaiban apabila berjaya menghalang kemaraan pilihan keempat kejohanan, Yu Feng Chen 1-6, 6-4, 6-4 bagi meletakkan dirinya di pusingan separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.

Shamirul, anak jati Batu Pahat yang kini di bawah naungan Persatuan Tenis Selangor sebelum itu terpaksa mengharungi perlawanan selama tiga jam 15 minit untuk menewaskan PengyuLu dari China dengan keputusan 6-2, 3-6, 7-6(7) di pusingan suku akhir.

"Ini pertemuan pertama saya dengan Yu Feng. Saya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang kerana dia pilihan keempat kejohanan dan berada pada ranking 300 dunia sedangkan saya pada kedudukan 1,100 tetapi saya tanamkan semangat juang dan bermain bersungguh-sungguh untuk menang untuk berada pada kedudukan yang lebih baik," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sama sebagaimana Shamirul, pemain perseorangan wanita negara, Sara Nayar, 16, pilihan kelapan kejohanan turut mempamer aksi luar biasa apabila dengan bergaya menundukkan naib juara kejohanan sama tahun lalu yang juga pilihan pertama kejohanan, Mai Patt Nirundorn dari Thailand dengan keputusan 3-6, 6-2, 6-3.

"Saya berazam untuk bergelar juara pada kejohanan tahun ini dan ia membakar semangat saya untuk menang dalam setiap perlawanan biarpun cuaca panas ia bukan halangan untuk saya beraksi dengan baik," katanya.

Perseorangan utama lelaki negara, Christian Didier Chin tidak berdepan masalah apabila mudah menjinakkan lawan dari Taipei, Han Chih Lin dengan strait set 6-3, 6-2.

Pusingan separuh akhir lelaki esok, dua wakil negara, Christian dan Samirul akan berentap sesama sendiri bagi merebut satu slot ke pusingan akhir manakala satu lagi slot akan ditentukan menerusi perlawanan antara S Sharmadari India pilihan ke 12 menentang pemain bukan pilihan dari Jepun Shunsuke Mitsui, manakala bagi perseorangan wanita, Sara Nayar akan menentang pilihan ke tiga kejohanan S Amineni dari India dan satu lagi perlawanan antara Makoto Ohara dari Jepun menentang Priska Madelyn Nughroho dari Indonesia.

Sementara itu, bagi acara beregu yang berakhir 4.45 petang tadi menyaksikan gandingan negara Christian Didier Chin dan Karan Srivastava dari India layak ke pusingan akhir secara automatik apabila lawannya dari Taipei terpaksa menarik diri berikutan kecederaan dialami Hua Chen Yu yang berpasangan dengan adiknya, Chieh Cheng Yu.

Hua Chen Yu mengalami kecederaan ketika menentang Sacchit Sharma dari India pada pusingan suku akhir yang diadakan pada sebelah pagi.

Christian Didier Chin dan Karan Srivastava akan bertemu Yu Feng Cheng / Han Chih Lin dari Taipei pada pusingan akhir, pagi esok.

Manakala regu wanita yang layak ke pusingan akhir ialah gandingan Shivani Amaneni (India)/ Mai Napatt Nirundorn (Thailand) dan Priska Madelyn Nughroho (Indonesia)/ Charmaine Shi Yi Seah (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:00 PM