Shafien (kanan) menunjukkan plan kedudukan penonton dalam stadium pada sidang media berkenaan perlawanan akhir Piala FA Pahang bertemu Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SERAMAI 2,315 anggota dan pegawai keselamatan akan ditempatkan di sekitar Stadium Shah Alam bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Pahang, esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pasukan polis akan turut dibantu Unit Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pengawal keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Dianggarkan lebih 72,000 penyokong kedua-dua pasukan akan membanjiri stadium. Oleh itu, kita galakkan penyokong untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Bas untuk kedua-dua penyokong juga diharap dapat diletakkan di tempat yang sudah dikhaskan bagi memastikan kelancaran trafik pada hari perlawanan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, Shafien berkata, pihaknya turut menambah lorong tambahan yang dikhaskan kepada kanak-kanak serta penyokong yang tidak membawa beg ketika pemeriksaan tiket.

Beliau berkata, penyokong juga dilarang keras menggunakan dron serta membawa senjata berbahaya termasuk suar ke dalam stadium.

"Polis dengan pengawal keselamatan FAM turut memantau penyokong yang menggunakan tiket palsu dan sekiranya didapati perkara itu berlaku, mereka akan diambil tindakan.

"Jaga keselamatan diri dan jangan memusnahkan harta awam kerana anggota polis dari pelbagai jabatan akan ditempatkan bagi mengawasi tingkah laku penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 3:29 PM