Hanif Hanizan bersama Yamaha 135LC kesayangannya. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin
am@hmetro.com.my


MINAT terhadap pemain Kedah, Liridon Krasniqi dan Baddrol Bakhtiar mendorong seorang lelaki dari Bukit Kayu Hitam mengabadikan gambar pemain itu pada motosikal Yamaha 135LC kesayangannya dengan menggunakan teknik semburan 'air brush'.

Presiden Kelab Motosikal 135LC, Hanif Hanizan Badrul, 21, berkata, dia mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM500 untuk mengecat dan menghias motosikalnya dengan tema hijau kuning itu.

"Motosikal ini dihantar kepada kenalan di Beseri, Perlis untuk dicat dengan teknik semburan 'air brush' tiga minggu lalu dan baru saja siap beberapa hari lalu sempena Kedah berjaya ke final Piala FA.

"Bagaimanapun, masih ada sedikit lagi kerja untuk mencantikkannya termasuk menambah gambar Sandro De Silva pada penghadang depan," katanya.

Menurutnya, dia sedikit kecewa kerana tidak dapat ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan itu esok namun meramalkan Kedah menang 2-0.

"Saya akan menonton perlawanan berkenaan di skrin besar yang dipasang di Taman Tasik Darulaman oleh penganjur Festival Belia Kedah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 12:40 PM