Penyokong cilik Pahang, Nur Durratul Fitriah Khairul Nizam 7, tidak melepaskan peluang membeli jersi di perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sempena perlawanan akhir bertemu Kedah, Sabtu ini, di Stadium Shah Alam. FOTO Nazirul Roselan
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my


FINAL Piala FA memberi 'durian runtuh' kepada peniaga jersi skuad Pahang apabila jualan meningkat berbanding pada hari perlawanan Liga Super.

Peniaga, Marwan Wahidin, 33, berkata, sejak Isnin lalu, jualan jersi terutama 'kuning biru' mendapat permintaan tinggi pada aksi final menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor, esok.

Katanya, dia menjangka jualan jersi Pahang akan meningkat sebelum penyokong Tok Gajah bertolak ke Shah Alam, esok.

"Kebiasaannya jualan jersi meningkat apabila Pahang beraksi di pentas final dan ia bertambah apabila peminat mula mendapatkan tiket seperti semalam.

"Saya harap jualan jersi Pahang akan meningkat kerana prestasi mereka juga semakin menunjukkan peningkatan berbanding musim lalu," katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, penyokong Tok Gajah, Hamsani Jamaluddin, 19, berkata, dia hanya membeli jersi Pahang selepas mendapatkan tiket aksi final Piala FA semalam.

"Apabila memiliki tiket, saya dan rakan mula mendapatkan jersi Pahang kerana difahamkan Tok Gajah yang menjadi tuan rumah akan memakai jersi kuning biru.

"Sudah pasti kemeriahan final akan dirasai apabila semua penyokong Tok Gajah memakai baju sama warna sekali gus dapat menaikkan semangat pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 11:57 AM