GHADDAR (kiri) menunjukkan jersi Harimau Selatan yang akan digunakannya ketika beraksi.

Johor Bahru: Teka-teki kontrak pemain import baru Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohammed Ghaddar akhirnya terjawab selepas sah mengikat kontrak 18 bulan dengan Harimau Selatan.

Ini bermakna pemain kelahiran Lubnan itu akan membuat penampilan pertama bersama juara liga tiga musim berturut-turut itu menentang PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, 24 Mei ini.

Walaupun sudah meledak 18 gol dalam penampilan 11 perlawanan ketika bersama Kelantan, Ghaddar tidak meletak sasaran muncul penjaring terbanyak liga.

Sebaliknya misi utama ke Johor DT bagi menguatkan jentera serangan dengan dia sendiri menyifatkan kerjasama berpasukan dengan semangat kekeluargaan yang sudah dibentuk pasukan itu menarik minatnya untuk menyarung jersi Harimau Selatan.

“Saya bukan mahu meletak diri selaku penjaring terbanyak tapi apa yang penting, kehadiran saya untuk mempertajamkan serangan dan tidak kira siapa yang menjaringkan gol kerana kita bermain secara berpasukan.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemain profesional untuk beri persembahan terbaik apabila menyertai Johor DT dan tidak dinafikan pasukan ini dibarisi pemain berkualiti, malah ia pasti akan memberikan saya lebih keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik,” katanya.

Ghaddar yang menyertai Johor DT menggantikan Brian Fereirra untuk kuota import pemain Asia dan akan menggunakan jersi nombor 22 manakala Gabriel Guerra yang sering memakai nombor berkenaan akan menggunakan jersi 10 pada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Turut hadir, Pengarah Sukan Johor DT Alistair Edward dan ketua jurulatih Benjamin Mora.

Sementara itu, Mora menyifatkan kehadiran Ghaddar akan menguatkan jentera serangan dan tidak mahu terlalu bergantung untuk pemain itu menjaringkan gol sebaliknya lebih terarah membentuk kombinasi mantap antara Guerra, Gonzalo Cabrera dan Safiq Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 10:53 AM