RONALDO (tengah) diasak dua pemain Celta Vigo.
AFP

Madrid: Real Madrid hanya memerlukan satu lagi mata untuk menjulang gelaran La Liga musim ini selepas Cristiano Ronaldo meledak dua gol bagi membantu pasukannya menang 4-1 ke atas Celta Vigo, semalam.

Juara Eropah itu mendahului Barcelona dengan kelebihan tiga mata di persada La Liga dan hanya perlu mengelak daripada tewas di Malaga, hujung minggu ini untuk bergelar juara buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

“Kami akan cuba memenangi perlawanan itu,” kata Ronaldo. “Kami adalah Real Madrid, kami adalah yang terbaik dan kami mahu menjadi juara.”

Ronaldo mengumpul 13 jaringan sepanjang lapan aksi terakhirnya dan dia memulakan catatan ke atas Celta pada awal babak pertama.

Iago Aspas dilayangkan kad merah kerana didakwa sengaja menjatuhkan badan tetapi Celta berjaya mengimbangi kekurangan itu dengan cubaan yang dilakukan John Guidetti.

Bagaimanapun, Karim Benzema dan Toni Kroos tampil melengkapkan kemenangan pasukannya sekali gus meletakkan Madrid di landasan tepat untuk bergelar juara La Liga dan Liga Juara-Juara musim ini.

“Kami bermain dengan sikap serta personaliti hebat,” kata pengurus Madrid Zinedine Zidane.

Ronaldo disenaraikan selaku pemain utama untuk tempoh hampir dua bulan selepas Zidane dilihat enggan mengubah kesebelasan utamanya.

Pengendali itu turut menyenaraikan pemain sama ketika menentang Atletico Madrid dan layak ke final Liga Juara-Juara, seminggu lalu.

Dan usahanya itu berbaloi apabila Marcelo membuat hantaran kepada Isco dan sebaik berjaya menyelinap ke kotak penalti, dia melorongkan bola yang mudah disempurnakan Ronaldo untuk gol pertama pasukannya.

“Beliau mengendalikan pasukan dengan baik sekali,” kata Ronaldo mengenai Zidane.

“Saya tidak rasa keberatan untuk bermain. Semuanya ditentukan pada minggu terakhir musim ini dan saya tidak mengalami sebarang masalah. Saya menjaringkan gol serta membantu pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 10:52 AM