DR Samsilah (dua dari kiri) bersama penyelidik inovasi morringa dan ahli pengurusan PSP.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Inisiatif InnoHub diketengahkan universiti awam (UA) dilihat sebagai pemangkin dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong syarikat permulaan secara berterusan bagi membantu memastikan kejayaan pengkomersialan inovasi.

Kejayaan program Innohub ini akan menjadi aspirasi dalam membina platform bagi mempromosi dan memacu pengkomersialan harta intelek universiti.

Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) antara UA yang menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dizahirkan melalui pembangunan ekosistem kondusif.

Terdapat pelbagai geran, dana, insentif, anugerah dan perkhidmatan sokongan untuk penghasilan serta pembangunan hasil penyelidikan, pemfailan harta intelek, promosi inovasi sehingga kepada peringkat pengkomersialan.

Pengarah PSP UPM Prof Madya Dr Samsilah Roslan berkata, ketrampilan UPM dalam aspek ini mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah dan kedudukan dalam serta luar negara.

Beliau berkata, PSP adalah pusat yang bertanggungjawab untuk menguruskan aktiviti pemindahan teknologi di UPM bermula daripada pengurusan harta intelek, promosi hingga ke pengkomersialan teknologi.

“PSP terus konsisten dalam memastikan UPM sentiasa di hadapan dalam penghasilan hasil penyelidikan berimpak tinggi dan dapat diterjemahkan sebagai produk yang dapat dimanfaatkan masyarakat dan industri.

“UPM akan memastikan supaya pelajar yang dipupuk dan diberi kepercayaan bukan saja membawa produk hasil kajian mereka ke tengah, bahkan membangunkan perniagaan berasaskan inovasi dan teknologi yang mereka cipta bersama pensyarah.

“Usaha ini dilaksanakan menerusi penubuhan syarikat permulaan menerusi program InnoHub@UPM yang mana graduan atau pelajar pasca siswazah dilatih untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka sendiri dengan bimbingan teknikal daripada penyelidik,” katanya.


PSP menawarkan pakej latihan inovasi kepada IPTA, IPTS dan agensi penyelidikan yang memerlukan kepakaran dalam pemindahan teknologi dan permulaan.

Prof Samsilah berkata, ia antara penambahan nilai kepada pengkomersialan produk penyelidikan universiti menerusi program ‘techventure’ dengan menghasilkan model perniagaan yang mampan.

“Di InnoHub@UPM, CEO syarikat dan juga penyelidik dibimbing untuk mengenal pasti potensi perniagaan bagi produk penyelidikan yang dihasilkan.

“Program ini adalah komprehensif, merangkumi kajian validasi pasaran, pembangunan kanvas perniagaan dan yang paling utama adalah sesi ‘pitching’ kepada pemberi dana atau pelabur berpotensi supaya perniagaan yang dibangunkan dapat direalisasikan.

“Hingga kini, terdapat 52 syarikat permulaan terdiri daripada pelbagai bidang dan terdapat projek dalam InnoHub yang mencapai produksi serta jualan pada skala industri dengan jumlah RM7.8 juta. Secara langsung ia menyumbang kepada pendapatan pelesenan kepada UPM melebihi RM700,000,” katanya.

Menurutnya, menerusi program ini, ia juga menyumbang kepada pembangunan modal insan dengan melahirkan lebih 50 usahawan teknologi yang mampu menerajui perniagaan.

“Melalui pengalaman UPM dan formula ‘techventure’ ini, sebanyak 10 syarikat berjaya dalam erti kata ‘techprenuer’ atau CEO syarikat memenuhi kriteria aktiviti validasi pasaran 100 peratus.

“Kebanyakan mereka memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk syarikat permulaan terus berdaya maju melalui model perniagaan yang mantap,” katanya.

Katanya, InnoHub yang ditubuhkan pada 2013, bertujuan menjalankan validasi pasaran bagi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D), di samping menjadi inovasi yang dapat menyelesaikan masalah sasaran pengguna dan pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:51 PM