Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Dibawa melawat ke pusat pemprosesan padi milik Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS) di Kedah sedikit sebanyak memberi gambaran jelas kepada pengamal media mengenai industri padi negara khususnya petani.

Sebagai pengawal tunggal industri padi dan beras, BERNAS terus bekerjasama rapat dengan petani, pengilang, pemborong dan pengawal selia untuk memastikan keselamatan makanan negara terjamin.

Ia sekali gus dapat menjamin pendapatan petani selain memastikan kestabilan dan akses kepada bekalan beras kepada pengguna melalui keseluruhan pengurusan yang berkesan terhadap kewajipannya.

Pengamal media termasuk wartawan Agro Harian Metro berpeluang melawat kilang beras BERNAS di Kangkong dan bertemu dengan beberapa petani sempena musim menuai kedua negeri Jelapang Padi itu.

Kami dibawa melawat kilang beras dan mengetahui proses penggilingan dan penggredan padi tempatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Proses bermula daripada penyerahan padi yang dituai kemudian dibawa menggunakan lori, timbang berat, pemeriksaan kualiti yang ketat, komprehensif dan penggredan sebelum menjalani proses penggilingan.


KAKITANGAN BERNAS menurunkan padi selepas dinilai kualitinya.

Ketua Jabatan Pengurusan Kilang Beras BERNAS Mohamad Solhi Mohd Salleh berkata, BERNAS mempunyai 22 kilang yang beroperasi di wilayah utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak).

Beliau berkata, ia untuk menjamin pasaran semua hasil padi tempatan dan pendapatan petani melalui harga minimum jaminan (GMP).

“Jika penuaian padi tertentu ditolak kilang lain, petani mempunyai pilihan untuk menjual padi mereka kepada BERNAS di mana kami akan membeli padi tanpa mengira kualiti.

“Kami akan memastikan padi yang dibawa ke kilang padi BERNAS diterima bagi menjamin pasaran untuk hasil mereka, sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Mohamad Solhi berkata, proses penentuan mutu dilakukan ketika hasil tuaian dihantar ke kilang dan ia mengambil masa beberapa minit melalui ujian yang dilakukan ke atas sampel beras.

“Kira-kira dua kilogram (kg) beras diambil daripada keseluruhan hasil tuaian dengan 20 gram sampel diuji untuk proses penentuan mutu.

“Pemotongan sekitar 18 peratus daripada setiap satu tan hasil tuaian dikira terbaik dan kadar pemotongan purata dalam kalangan petani antara 20 hingga 21 peratus,” katanya.


PROSES mengasingkan padi untuk penggredan.

Sementara itu, Presiden Kelab Jelapang Padi, Jaafar Zakaria berkata, persaingan sengit dari kawasan pertanian tempatan yang lain terutama di Selangor memerlukan semua petani di seluruh negara sentiasa mencari cara baru untuk meningkatkan hasil dan kualiti tuaian.

“Apabila landskap pertanian berkembang dan kemajuan teknologi, terdapat keperluan yang tinggi untuk petani tempatan memperbaiki teknik dan hasil mereka untuk bersaing dengan permintaan selain memastikan kualiti beras,” katanya.


PETANI kerap ke sawah untuk mengawal serangan serangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:31 PM